Kuala Lumpur, 3 Mac- Kuala Lumpur Film School (KLFS) dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) telah berganding bahu menganjurkan program apresiasi filem tempatan dan ASEAN melalui sesi Bicara Filem bersama pengarah filem, U-Wei HjSaari dan tetamu undangan, Pengarah Terbaik FFM12 menerusi filem ‘Sayang Salmah’ yang juga merupakan karyawan seni dan ahli akademik, Dr. Mahadi J Murat dengan tayangan dan apresiasi filem dari negara Brunei iaitu ‘Waris’ (2016) arahan Haji Sapami Abdullah.

Program sinergi ilmu dan pembangunan intelektual ini telah meneroka aspirasi, falsafah, ideologi dan nilai di sebalik filem seram ‘Waris’ lakonan Rayna Idris, Dato Jalaluddin Hassan, Shahrul Amri Hj Awg Saban, Suriana Hj Md Yassin ini yang mengangkat persoalan mistik, ritual, pemikiran dan budaya masyarakat di sebalik kejadian aneh di rumah tidak berpenghuni yang mencipta pertembungan ideologi dan konflik menerusi watak-watak yang wujud. Filem ini juga telah mewakili Brunei sebagai ‘Official Selection’ di Asean Tingin Film Festival di Filipina dan Bangkok Asean Film Festival di Thailand.

Turut hadir di program ini ialah En. Othman Hafsham, Presiden FDAM, para karyawan filem, ahli-ahli akademik dari institut pengajian tinggi awam dan swasta, para penggiat seni termasuk En. Sabri Yunus dan tetamu jemputan yang lain.