Petaling Jaya, 1 Ogos – Seramai 35 pelajar dari Management Sciene University (MSU) Shah Alam yang diketuai Dr. Omar Ismael Ibrahim, Pensyarah MSU telah berpeluang menyertai Program Integrasi Ilmu dan Sinergi Industri di Kompleks FINAS Petaling Jaya sebentar tadi. Melalui platform pembangunan komuniti industri filem, program seumpama ini memberi peluang kepada generasi muda membina jaringan dua hala bersama FINAS sebagai badan peneraju kemajuan industri filem Malaysia.

Selain lawatan berpandu ke pameran khazanah, teknologi dan inovasi perfileman termasuk pendigitalan dan restorasi kandungan, delegasi juga telah menjana pengetahuan melalui program #Eksplorasi Sinema mengenai perspektif sejarah pembangunan industri filem selain #LensaFINAS yang merupakan program perkongsian ilmu mengenai aspirasi, fungsi dan strategi FINAS di dalam pemerkasaan industri.

Selain itu, melalui platform #Sembang Skrin yang diselia Encik Ahmad Junaidi Reappai, Ketua Penolong Pengarah Unit Mediatheque para peserta lawatan telah diberi ruang untuk sesi soal jawab dan perkongsian interaktif mengenai FINAS dan Sinema Malaysia.