Putrajaya, 31 Ogos – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V pagi ini telah berangkat mencemar duli menghadiri sambutan Hari Kebangsaan 2018 di Dataran Putrajaya, Presint 3 yang disambut meriah dengan kehadiran bersama YAB Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isteri berserta kira-kira 300,000 orang. Bertemakan ‘Sayangi Malaysiaku’, sambutan kali ini disifatkan bersejarah kerana pemilihan Putrajaya sebagai lokasi sambutan Hari Kebangsaan tahun ini khususnya buat Dr Mahathir yang mencetuskan ilham membangunkan kawasan itu, yang sebelum ini dikenali sebagai Prang Besar, menjadi pusat pentadbiran negara pada tahun 1995.

Disertai lebih 15,000 peserta yang melalui empat segmen utama yang mencerminkan semangat patriotik dan cintakan negara iaitu kenegaraan, ketenteraman awam, keselamatan negara dan rakyat bersepadu, ia turut dimeriahkan dengan acara perbarisan, pancaragam serta pertunjukan aset udara dan darat oleh Angkatan Tentera Malaysia, persembahan tarian oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) bersama kanak-kanak Permata Seni.

Terdahulu, FINAS dan beberapa agensi serta jabatan kerajaan telah menjayakan program Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2018 yang telah menjelajah ke 11 buah negeri di seluruh semenanjung Malaysia sebagai tanda semangat dan sokongan sempena sambutan Hari Kebangsaan 2018 ini.

Turut hadir meraikan sambutan tadi ialah YAB Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Dr. Wan Ismail, Timbalan Perdana Menteri Malaysia, YB Tuan Gobind Singh Deo, Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, barisan Menteri dan Timbalan Menteri kabinet, YB Tuan Eddin Syazlee Shith, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, YBhg. Dato’ Dr. Mohd. Ali Mohamad Nor, Ketua Setiausaha KKMM, YBhg. Dato’ Fauzi Ayob, Ketua Pengarah FINAS, ketua-ketua jabatan dan agensi, para diplomat dan delegasi asing, rakan-rakan media dan orang awam.