BUKIT MERAH, 2 April – Program Negaraku: Menghubung Menyatu (Connecting The Unconnected-CTU) anjuran Jabatan Penerangan Malaysia dengan sokongan Kementerian Komunikasi dan Multimedia telah disempurnakan perasmiannya oleh YB Dato’ Sham Mat Sahat, ADUN Alor Pongsu yang telah diadakan di Pusat Komuniti Bukit Merah, Perak.

Program yang memperkasakan jaringan strategik perhubungan rakyat, integrasi nasional dan perpaduan negara di seluruh negara ini juga memperluaskan perhubungan komunikasi digital dan industri kreatif khususnya di luar bandar melalui peranan strategik agensi-agensi di bawah KKMM. Justeru, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) telah berpeluang menyertai program ini sebagai platform pembangunan kreativiti komuniti dan komuniti luar bandar melalui program merakyatkan filem, pameran teknologi digital dan kandungan Mediatheque dan eksplorasi bakat generasi kreatif oleh Lisdawati dan Fareez.

Program yang berlangsung selama dua hari dari 1-2 April 2017 telah diisi dengan pelbagai program interaktif dua hala bersama rakyat seperti penyerahan Astro Njoi kepada penduduk setempat, program kembara konvoi Negaraku, eksplorasi bakat, pameran industri dan komuniti dan lain-lain lagi.

Turut hadir sama, YBhg.Dato’ Dr. Mohd Ali Mohamad Nor, Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, YBhg. Dato’ Hj Ibrahim Abdul Rahman, Ketua Pengarah Penerangan Malaysia, YBhg. Dato Hj Meor Redwan Mahayuddin, Orang Besar Jajahan Kerian, ketua-ketua jabatan peringkat negeri Perak, agensi-agensi di bawah KKMM, pihak media serta penduduk tempatan.