Hulu Kelang, 11 Januari – Yayasan Artis Veteran Malaysia (YAVM) dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) hari ini mengadakan Taklimat Tabung Bantuan Perubatan di Pawagam Mini P. Ramlee, FINAS.

Taklimat Tabung Bantuan Perubatan (TBP) ini telah disampaikan oleh Ketua Penolong Setiausaha Kanan, Bahagian Kewangan Kementerian Kesihatan Malaysia, En. Azlan Ahmad. Objektif taklimat adalah untuk memberi pendedahan dan maklumat berkaitan kemudahan dan bantuan kewangan yang ditawarkan oleh program Tabung Bantuan Perubatan dibawah kelolaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Tabung Bantuan Perubatan (TBP) ini merupakan salah satu inisiatif kerajaan untuk membantu meringankan kos pembiayaan mesin perubatan dan kos rawatan terpilih bagi rakyat Malaysia yang kurang berkemampuan termasuk golongan sasaran iaitu artis veteran.

Majlis telah diserikan dengan kehadiran YBhg. Dato’ Fauzi Ayob, Ketua Pengarah FINAS, YBrs. Puan Kismah Johar, Presiden Yayasan Artis Veteran Malaysia (YAVM), pegawai-pegawai kanan KKM dan ahli-ahli YAVM.