Hulu Kelang, 27 Januari – Taklimat #12jamshooting to Production Manager anjuran Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM) dengan kerjasama Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA) dan disokong Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) telah diadakan di Pawagam Mini P. Ramlee FINAS hari ini.

Objektif utama taklimat ini diadakan adalah sebagai satu usaha mendapatkan kata sepakat antara pengurus-pengurus produksi untuk mengehadkan waktu penggambaran sehingga maksimum 12 jam sehari bagi memberi peluang kepada krew-krew penggambaran serta penggiat seni mendapat rehat dengan secukupnya. Usaha dan kempen positif disambut baik dan dipersetujui oleh pengurus produksi, penerbit dan pengarah yang hadir pada taklimat tersebut. Ini merupakan satu langkah positif untuk menjamin kualiti kerja dan kualiti produksi bagi mencapai matlamat utama iaitu menghasilkan karya yang berkualiti tinggi.

Turut hadir memeriahkan taklimat ini ialah YBrs. Encik Othman Hafsham, Presiden FDAM, Kapten Khir Mohd Noor, Presiden PROFIMA, peserta-peserta taklimat, dan jemputan yang lain.