Kuala Lumpur, 15 November – Bersempena penganjuran Urbanscapes Festival 2018, Kelab Seni Filem Malaysia dan Cinephilia meraikan pembangunan jaringan ilmu menerusi tayangan dan apresiasi filem-filem tempatan yang telah menterjemah visual naratif dan lensa sinematik bandaraya Kuala Lumpur yang melatari dimensi cerita, konflik dan emosi para penghuninya.

Menampilkan filem ikonik karya dan arahan Kabir Bhatia, ‘Cinta’ (2006) yang bernaratifkan lima kisah dengan dimensi ‘cinta’ penuh emosi dan konflik, Filem Terbaik Festival Filem Malaysia ke 20 ini membariskan pelakon-pelakon hebat seperti Fatimah Abu Bakar, Datuk Rahim Razali, Sharifah Amani, Pierre Andre, Nanu Baharuddin, Que Haidar, Rashidi Ishak dan ramai lagi.

Hadir sama pada sesi tayangan dan apresiasi di Urbanscapes House 2, Jalan Hang Kasturi ini ialah pengarahnya, Kabir Bhatia yang telah berkongsi secara dua hala mengenai aspirasi, falsafah, pemikiran dan pembikinan bersama khalayak dan para pencinta filem tempatan yang hadir.