Shah Alam, 22 Februari – Pusat Kajian dan Apresiasi Filem menerusi Program Tayangan dan Bual Santai Wayang@Budiman di Shah Alam hadir bagi meneroka perspektif ilmu dan pembangunan apresiasi sinema dengan slot Kanvas Filipina. Kali ini menampilkan sebuah filem retrospektif hasil karya Mike De Leon di era emas sinema Filipina, ‘Sister Stella L’.

Filem yang diterbitkan sekitar tahun 1984 itu mengisahkan seorang rahib yang bertindak melakukan mogok bagi memperjuangkan ketidakadilan dan penindasan terhadap golongan bawahan hingga akhirnya membawa beliau melibatkan diri dalam kancah politik.

Program yang diterajui Dr. Norman Yusoff, Ketua Program Pasca Siswazah, Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FITA) UiTM ini telah dihadiri oleh pensyarah dan pelajar perfileman serta komuniti filem yang turut berkongsi perspektif mereka terhadap filem ini.