Kuala Lumpur, 22 Mac-YB Tuan Eddin Syazlee Shith, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia hari ini telah bersama-sama menyambut kehadiran bintang-bintang lagenda merangkumi seniman dan seniwati dari Malaysia dan Singapura di Majlis Makan Malam Bintang Lagenda yang diadakan di Restoran D’Saji, Titiwangsa, Kuala Lumpur. Dihadiri barisan bintang yang pernah menyinari zaman kegemilangan filem Melayu klasik seperti Zaiton, Wahid Satay, Hashimah Yon, Dayang Sofia, K. Fatimah, Habibah Haron, Dayang Sulu, Arman Yadi dan Norlia Ghani, majlis ini diadakan bersempena Program Imbas Kembali dan Layar Bintang Allahyarham Dato’ Mustapha Maarof dan Datuk Aziz Sattar yang dianjurkan FINAS pada esok hari.

“Filem-filem lakonan bintang-bintang hebat di hadapan saya ini tentunya menjadi khazanah tidak ternilai jika dilihat dari konteks sosio budayanya yang berlensakan warna warni identiti tempatan yang boleh menjadi medium pembangunan intelektual, jatidiri dan aspirasi seni tanahair” ujar YB Tuan Eddin ketika memberikan ucapan aluan di majlis tersebut. Ujarnya lagi, kerajaan melalui pihak Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) dan FINAS akan terus komited memperkasakan pembangunan khazanah perfileman melalui aspek dasar, pengarkiban, restorasi, penerbitan dan penyelidikan yang diharapkan mampu menjana kepada pemuliharaan kandungan sejarah dan warisan negara ini.

Turut hadir di majlis ini ialah YBrs. Encik Ahmad Idham Ahmad Nadzri, Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, YBrs. Encik Khairul Azhar (Nik) Abu Bakar, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) FINAS, YBrs. Tuan Hj. Abd Khalid Maulod, Pemangku Timbalan Ketua Pengarah Produksi dan Teknikal FINAS, En. Zed Zaidi, Presiden Persatuan Seniman, para penggiat industri dan tetamu jemputan.

The gallery was not found!