Kembara filem arahan Nam Ron, ‘One Two Jaga’ yang sedang menemui penonton tempatan di pawagam sejak 6 September 2018 yang lalu terus dihangatkan dengan kejayaan mengharumkan Malaysia di festival filem antarabangsa melalui pencalonan Grand Prix (Filem Terbaik Asia) bersama 9 karya terbaik Asia yang lain melalui kategori New Asian Cinema Competition di 12th Five Flavours Asian Film Festival di Warsaw, Poland yang akan berlangsung dari 14-21 November 2018 ini.

Terdahulunya, filem ‘One Two Jaga’ terbitan Pixel Play Entertainment (Bront Palarae & Rozi Izma) dan Jazzy Pictures (Joanne Goh) telah menjadi finalis Filem Cereka Terbaik di 17th New York Asian Film Festival 2018 selain mewakili Malaysia di 21st Shanghai International Film Festival (SIFF) di China (Official Selection) dan 20th Udine Far East Film Festival, Itali (In Competition). Dibintangi Zahiril Adzim, Dr. Rosdeen Suboh, Amerul Affendi, Along Ezyendy, Iedil Putra, Chew Kin Wah, Azman Hassan, Vanidah Imran, Farah Ahmad selain bintang Indonesia, Ario Bayu dan Asmara Abigail serta Timothy Castillo dari Filipina, filem ini meneroka sisi gelap berkaitan rasuah, korupsi dan jenayah serta konflik kemanusiaan sejagat yang menghantui masyarakat.

Dianjurkan Arteria Art Foundation dengan sokongan Warsaw City Council, Polish Film Institute, Ministry of Culture and National Heritage of Poland, Japan Foundation, Hong Kong Economic Trade Office, Create HK, HK Film Development Fund dan Asia-Europe Foundation (ASEF), Five Flavours Film Festival adalah merupakan festival berprestij yang mendukung kepada pembangunan seni dan budaya melalui jaringan sinema dunia dan menjadi platform tayangan dan apresiasi melalui pemilihan juri bagi filem-filem kontemporari berkualiti dari seluruh Asia di Eropah. Selain filem ‘Dukun’ arahan Dain Said yang akan turut ditayangkan sebagai ‘Official Selection’ untuk premier Eropah untuk edisi 2018 ini, terdahulunya filem-filem Malaysia yang lain seperti Bunohan & Interchange/Dain Said, Songlap/ Effendee Mazlan & Fariza Azalina, Hanyut/U-Wei Bin HajiSaari dan Jagat/Shanjhey Kumar Perumal juga telah berjaya menembusi festival filem ini.

otj 1

otj 2

otj 3