George Town, 4 Ogos 2018 – Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2018 telah disempurnakan oleh YAB Tun Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia yang bertempat di Padang Kota Lama, Georgetown di Pulau Pinang sebentar tadi.

Bertemakan ‘Sayangi Malaysiaku’, pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2018 ini adalah merupakan kelolaan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang bermula pada 3 hingga 5 Ogos 2018 yang bertujuan menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan tahun ini dan meningkatkan semangat patriotik serta cintakan negara di kalangan rakyat.

Pelbagai aktiviti menarik sepanjang 3 hari program berlangsung antaranya ialah Pameran Caring Bridge, Kembara Merdeka Jalur Gemilang, Larian Merdeka, Konsert Sayangi Malaysiaku, persembahan buskers Sayangi Malaysiaku, persembahan PENTARAMA dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Pulau Pinang, Program keagamaan Islam, Buddha, Hindu serta Kristian serta pameran MyMerdeka Sayangi Malaysiaku di Mydin Bukit Mertajam.

Turut hadir memeriahkan majlis YABhg Tun Siti Hasmah Mohamad Ali, isteri kepada YAB Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Dr. Wan Ismail, Timbalan Perdana Menteri, YB Tuan Chow Kon Yeow, Ketua Menteri Pulau Pinang, YB Tuan Gobind Singh Deo, Menteri Komunikasi dan Multimedia merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2018, barisan menteri-menteri kabinet, ketua-ketua jabatan dan orang ramai.