Kuala Lumpur, 10 November – Kuala Lumpur Film School (KLFS) dengan kerjasama Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) sekali lagi berkerjasama di dalam penganjuran program perkongsian ilmu dan pembangunan apresiasi sinema iaitu Bicara Filem KLSF: Perspektif Pembikin Filem (Siri Pengarahan Filem) yang diterajui oleh pengarah dan karyawan filem, U-Wei Hj Saari di KLFS, Wangsa Melawati. Menampilkan filem “Kanang Anak Langkau, The Iban Warrior” arahan Bade Hj. Azmi yang turut hadir bagi sesi perkongsian ilmu dan apresiasi sejurus tayangan, filem ini telah dikupas secara ilmiah daripada perspektif pembikinan dan pengarahan, falsafah, cabaran, aspirasi dan impak kepada penonton.

Diterbitkan Tangan Seni Sdn. Bhd dengan kerjasama FINAS, Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia yang berkisarkan tentang perjuangan, kepahlawanan dan ketokohan perajurit negara yang amat disegani yang berasal dari bumi Sarawak iaitu mendiang Datuk Kanang Anak Langkau, filem patriotik dan kenegaraan yang telah memenangi Anugerah Khas Semangat ASEAN di Asean International Film Festival & Awards (AIFFA) 2017 selain ‘Official Selection’ di Asia Pacific Screen Awards 2017 dan 2nd Guwahati International Film Festival (GIFF), India pada tahun ini dibintangi oleh anak mendiang sendiri Langgi Anak Kanang sebagai teraju utama, Dato’ Adi Putra, Johan As’ari, Aidil Aziz, Adam Shahz, Zach X-Factor, Livonia Guing, Ruzana Ibrahim dan ramai lagi.

Turut hadir pada program Bicara Filem ini adalah para karyawan filem dan penggiat industri, pensyarah dan pelajar perfileman serta khalayak filem yang turut berkongsi pandangan dan perspektif mereka mengenai filem ini bersama para panelis.