Sekalung tahniah buat tiga buah filem tempatan garapan pengarah muda iaitu filem cereka ‘Roh’ arahan Emir Ezwan dan dua buah filem pendek, ‘Vinegar Baths’ oleh Amanda Nell Eu dan ‘Forget Me Not’ arahan Anwar Johari Ho yang terpilih mewakili Malaysia di 14th Jogja-NETPAC Asian Film Festival 2019 (JAFF) yang akan berlangsung di Yogyakarta, Indonesia mulai 19-23 November 2019. Menampilkan tema ‘Revival’ sebagai refleksi sejarah dan peradaban Asia melalui medium sinema, filem ‘Roh’ terbitan Kuman Pictures yang terpilih sebagai ‘Official Selection’ di bawah kategori ‘Asian Perspectives’ ini terdahulunya diumumkan sebagai salah sebuah seleksi bagi edisi ke 30 Singapore International Film Festival tahun ini manakala ‘Forget Me Not’ yang bakal ditayangkan di bawah kategori sama di JAFF ini telah merangkul anugerah Bunyi Terbaik (Next New Wave) di SeaShorts 2019. Bagi filem pendek ‘Vinegar Baths’, karya yang telah memenangi anugerah Filem Terbaik dan Sinematografi Terbaik di Seashorts 2019 bakal merebut Blencong Awards (In Competition) di bawah kategori ‘Light of Asia’ bersama 10 karya pembikin muda dari seluruh Asia.Terdahulunya, festival filem berprestij ini telah mengiktiraf karya-karya Malaysia yang berkualiti seperti filem cereka ‘Bunohan’/Dain Said/2012 (Golden Hanoman Award), filem pendek ‘The Incredibly Strange Tale of the Man Who Lost His Love but Bought it Back with a Packet of Duck Rice’/Gavin Yap/2015 (Blencong Award) dan filem cereka ‘Aqerat’/Edmund Yeo/2017(Geber Award).