Kuala Lumpur, 29 November 2018 – YB Tuan Eddin Shazlee Shith, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) merasmikan ConnectASIA2018 (Symposium & Networking) di Hotel Seri Pacific Kuala Lumpur tengah hari kelmarin.

ConnectASIA2018 (Symposium & Networking) anjuran Creative Content Association Malaysia (CCAM) dengan kerjasama penuh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan disokong Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia diadakan selama 2 hari bagi memberi peluang kepada penggiat industri kandungan kreatif tempatan untuk bertukar pandangan melalui sesi perkongsian bersama pakar-pakar dinamik yang terlibat secara khusus dalam industri audio visual filem dan televisyen Malaysia. Program persidangan ini juga menyediakan platform pameran bagi memberi inspirasi kepada penggiat industri dalam memajukan kandungan kreatif negara. Selain itu, program ini juga dapat meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara hub bagi bidang perfileman serta menarik minat syarikat produksi untuk menjalin kerjasama strategik bersama pihak produksi luar negara. Persidangan ini turut ditaja Media Prima Berhad termasuk MyCreative Ventures Sdn Bhd, Pinewood Iskandar Malaysia Studios, Les’ Copaque Production Sdn Bhd dan UnifiTV.

Turut hadir bersama dalam majlis perasmian ialah YBrs. Tuan Shakib Ahmad Shakir, Ketua Pengarah FINAS, YBhg. Dato’ Mahyiddin Mustakim, Ketua Pegawai Eksekutif CCAM, penggiat industri, para jemputan dan pihak media.