Kuala Lumpur, 6 Nov- Bersempena penganjuran Urbanscapes Festival 2018, Kelab Seni Filem Malaysia dan Cinephilia meraikan pembangunan jaringan ilmu menerusi tayangan dan apresiasi filem-filem tempatan yang telah menterjemah visual naratif dan lensa sinematik bandaraya Kuala Lumpur yang melatari dimensi cerita, konflik dan emosi para penghuninya.

Menampilkan filem ikonik arahan Wan Azli Wan Jusoh, “Budak Kelantan” (2008) yang meneroka realisme sosial anak-anak muda luar bandar yang bermigrasi dan berjuang di bawah arus dan cabaran urbanisasi di bandaraya yang mewujudkan impak pertembungan dan persilangan nilai, budaya, ideologi dan halatuju, filem ‘indie’ yang menongkah gaya pembikinan neo noir yang merakam ‘suara’, ‘gejolak’ anak Kelantan melalui representasi subaltern dengan cabaran sosio budaya dan ekonomi di dalam masyarakat ini dibintangi oleh Danny XFactor, Bienda, Mohd Asrulfaizal, Md Eyzendy, Hushairi Husain dan ramai lagi.

Hadir sama pada siri tayangan kali ini yang berlangsung di Urbanscapes House 2, Jalan Hang Kasturi, Kuala Lumpur ialah penulis dan pengarahnya, Wan Azli Wan Jusoh, karyawan filem, Shamsul Cairel dan para pencinta filem tempatan yang telah turut bersama-sama meraikan dan berkongsi perspektif mereka.