Kuala Lumpur, 14 November – Bersempena penganjuran Urbanscapes Festival 2018, Kelab Seni Filem Malaysia dan Cinephilia meraikan pembangunan jaringan ilmu menerusi tayangan dan apresiasi filem-filem tempatan yang telah menterjemah visual naratif dan lensa sinematik bandaraya Kuala Lumpur yang melatari dimensi cerita, konflik dan emosi para penghuninya.

Menampilkan filem cereka ikonik karya dan arahan Aziz M. Osman, ‘XX Ray’ (1992) yang meneroka genre sains fiksyen dari naratif ideologi dan komunikasi Amir di antara dimensi logik dan abstrak minda yang mewujudkan impak beliau dan insan sekeliling terhadap sistem kepercayaan dan kuasa cakerawala, fenomena filem lakonan Aziz M. Osman, Nur Aliah Lee, Faizal Hussein dan Sharmaine Farouk yang mengangkat teknik kesan khas di dalam visual naratifnya ini telah merangkul 3 anugerah di Festival Filem Malaysia ke 10 iaitu Skor Muzik Terbaik (Azman Abu Hassan) dan dua Anugerah Khas Juri kepada Aziz M.Osman (Penampilan Potensi Pengarah Muda Harapan) dan penerbitnya, Nizarman (M) Sdn. Bhd (Penerokaan Special Effects).

Hadir sama pada sesi tayangan dan apresiasi di Urbanscapes House 2, Jalan Hang Kasturi ini ialah pengarahnya, Aziz M. Osman yang telah berkongsi secara dua hala mengenai aspirasi, falsafah, pemikiran dan pembikinan bersama khalayak dan para pencinta filem tempatan yang hadir.