Shah Alam, 17 Ogos – Pusat Kajian dan Apresiasi Filem telah menganjurkan Program Tayangan dan Bual Santai Wayang@Budiman di Shah Alam bersempena apresiasi 100 tahun sinema Filipina menerusi slot Seabad Wayang Filipina. Meneroka perspektif ilmu menerusi filem ikonik arahan Lamberto V. Avellana, ‘Anak Dalita’ (1956), Filem Terbaik Asia Pacific Film Festival 1956 ini merupakan filem neo-realisme bernaratifkan kehidupan seorang veteran perang Korea dan pelacur ketika era pasca perang di bandar yang menemukan mereka dengan pelbagai konflik kehidupan serta perjuangan masyarakat yang dihimpit tekanan. Program yang diterajui Dr. Norman Yusoff, Ketua Program Pasca Siswazah, Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FITA) UiTM ini telah dihadiri oleh pensyarah dan pelajar perfileman serta komuniti filem yang turut berkongsi perspektif mereka terhadap filem ini.