Kuala Lumpur, 13 September – FINAS telah menerima sejumlah 53 filem cereka merangkumi filem di dalam Bahasa Malaysia (41), Mandarin (6), Tamil (5) dan Bahasa Inggeris (1) untuk Festival Filem Malaysia ke 29 (FFM29) pada tahun ini. Mempertaruhkan 24 anugerah yang kesemuanya diberikan pada Malam Anugerah yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) 23 September ini, ianya adalah keistimewaan yang diperkenalkan pada tahun ini.

Bersiaran secara langsung di saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123) pada jam 9.00 malam, sebanyak 24 kategori merangkumi 18 kategori yang dipertandingkan iaitu Filem Terbaik, Pengarah Terbaik, Lakon Layar Terbaik, Cerita Asal Terbaik, Penyunting Terbaik, Pelakon Lelaki dan Wanita Terbaik, Pelakon Pembantu Lelaki dan Wanita Terbaik, Pelakon Kanak-Kanak Terbaik, Pengarah Harapan, Pelakon Lelaki & Wanita Harapan, Sinematografi Terbaik, Skor Muzik Terbaik, Penataan Seni Terbaik, Penataan Bunyi Terbaik, Pereka Kostum/Busana Terbaik selain tiga anugerah khas juri, Penggiat Belakang Tabir, Filem Box Office dan Karyawan Sepanjang Zaman. Di antara filem-filem yang bakal bersaing melalui penyertaan pada FFM ini termasuklah Redha, Hanyut, Interchange, Pekak, Rock Bro, You Mean The World To Me, Adiwiraku, Bisik Pada Langit, J Revolusi, Abang Long Fadil 2, Temuan Takdir, Kerja Kahwin, Kanang Anak Langkau: The Iban Warrior dan lain-lain lagi.

Turut diumumkan di Sidang Media anjuran Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) tersebut adalah hos Malam Anugerah FFM29 Zizan Razak bersama gandingan hos bersama Nabila Huda, Siti Elizad, Elizabeth Tan dan barisan penyampai anugerah, Datuk Rahim Razali, Fauziah Dato’ Ahmad Daud, Rusdi Ramli, Nasha Aziz, Raja Mukhriz, Vanidah Imran, Pekin Ibrahim, Kavita Sidhu, Dato’ Norman Abdul Halim, Nadiya Nissa, Sharon Paul, Zul Ariffin, Rykarl Iskandar dan Mia Sara.

Berlangsung dari 14-23 September, FFM29 adalah anjuran FINAS dengan kerjasama Persatuan-Persatuan Perfileman Malaysia dan disokong Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM).

#TransformasiCitraKarya
#FestivalFilemMalaysia
#FFM29