Kuala Lumpur, 25 November – Seramai 11 orang penerima mewakili organisasi media masing-masing telah berjaya diiktiraf melalui kecemerlangan penulisan dan laporan khas mengenai industri filem tempatan pada Malam Anugerah Kewartawanan Industri Filem Malaysia (AKIFMA 2017) yang berlangsung semalam di Hotel ParkRoyal, Kuala Lumpur. Bertemakan Antusias Tinta Emas, penganjuran AKIFMA 2017 yang julung-julung kalinya oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dengan kerjasama Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) dan sokongan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) ini adalah platform penghargaan kerajaan melalui FINAS di atas sinergi pihak media dan wartawan bagi membangunkan industri filem melalui penulisan kreatif dan kritis menggunakan media cetak, elektronik dan baharu. Dua orang penerima, Abdul Aziz Itar (Mingguan Malaysia) dan Rozdan Mazalan (Berita Harian) berjaya merangkul Anugerah Kewartawanan Cemerlang 2017 yang membawa pulang trofi, piala dan wang tunai.

Dihoskan Fauziah Dato’ Ahmad Daud dan Abam Bochey, majlis yang diserikan dengan kehadiran dif-dif kehormat, YAM Tengku Puteri Seri Kemala Pahang, Tengku Aisyah Binti Sultan Hj. Ahmad Shah, YB Dato’ Mohd Khusairi Abdul Talib, Pengerusi FINAS, YBhg. Dato’ Fauzi Ayob, Ketua Pengarah FINAS dan YM Dato’ Tengku Khalidah Tengku Bidin, Pengerusi Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) ini juga memberi pengiktirafan khas kepada Presiden pertama WHAM, Puan Hajjah Fauziah Rauf di atas sumbangan dan perjuangan beliau di dalam dunia kewartawanan dan jaringan pembangunan industri secara langsung.

Turut hadir ialah YBhg. Dato’ Azmir Saifudin Mutalib, Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan FINAS, Tn. Hj. Mohd Zulkifli Ab. Wahab, Timbalan Ketua Pengarah (Teknikal & Produksi), Ahli-ahli Perbadanan Finas, presiden-presiden persatuan perfileman, karyawan industri, rakan-rakan media dahulu dan kini, barisan penyampai anugerah yang menggabungkan bintang filem, Noorkumalasari, Dato’ Sri Shah Rezza, Dato’ Rosyam Noor, Dato’ Sri Eizlan Yusof, Maya Karin dan bekas editor hiburan berkaliber seperti Saodah Ismail, Emma Hussain dan Zubairi Zabidin.

Senarai nama penerima AKIFMA 2017

1. Anugerah Penulis Pojok Terbaik:
Raja Nurfatimah Mawar Mohamed (Berita Harian) – Beginikah Perilaku Penggiat Seni?
2. Anugerah Wartawan Hiburan Muda:
Angelin Yeoh (The Star)
3. Anugerah Khas Juri 1:
Syazwan Zakariah (Astro)
4. Anugerah Khas Juri 2:
Tengku Suzana Raja Hamat (Kosmo)
5. Anugerah Kewartawanan Kritikan Filem: Shazryn Mohd Faizal (Mstar Online) – Estetika Tinggi Dari U-Wei Dalam ‘Hanyut’
6. Anugerah Kolumnis Hiburan Terbaik:
Adam Salleh (Harian Metro) – Masih Mencungap mengejar RM 75 juta
7. Anugerah Kewartawanan Filem Terbaik: (Media Baharu)
Elrafaei Sapi (Rojak Daily) – Filem Tempatan Tidak Jelas, Kita Hanya Boleh Buat Filem Darai
8. Anugerah Kewartawanan Filem Terbaik: (Televisyen)
Syazwan Zakariah (Astro) – JOMOVIE
9. Anugerah Kewartawanan Filem Terbaik: (Media Cetak)
Mumtaj Begum (The Star) – A Pioneer In Filmmaking
10. Anugerah Kewartawanan Cemerlang 1:
Abd. Aziz Ittar (Mingguan Malaysia)
11. Anugerah Kewartawanan Cemerlang 2:
Rozdan Mazalan (Berita Harian)
12. Anugerah Tokoh Wartawan Hiburan:
Fauziah Abdul Rauf