Kuala Lumpur, 15 Mei – Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dengan kerjasama Jabatan Seni Visual, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Universiti Selangor (UNISEL) telah berjaya menganjurkan Festival Cinemini 2018 bertempat di Auditorium Balai Seni Negara hari ini. Pelbagai buku terbitan FINAS seperti Ceria Bersama S.Shamsuddin dan Wahid Satay, biografi Meredah Gelombang Seni Sebuah Memoir Aziz Sattar, Kembara Seorang Seniman Jins Shamsudin, Mustapha Ma’arof Seniman Merentas Zaman, Jejak Terbilang dan 1957 Hati Malaya turut dipamer dan dijual bagi tujuan perkongsian ilmu melalui bahan bacaan.

Objektif utama Festival Cinemini diadakan adalah bagi mengiktiraf dan mengangkat karya terbaik para pelajar dalam pembikinan filem pendek, dokumentari, animasi dan muzik video melalui tiga (3) program iaitu Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Seni Reka Grafik Digital, Diploma Seni Reka Grafik Digital dan Diploma Teknologi Fotografi.

Pelbagai aktiviti ilmiah termasuk sesi forum oleh pengarah filem Aziz M. Osman dan pensyarah UITM, Mohammed Khairi Ibrahim, turut diadakan bagi memeriahkan festival ini. Majlis ini telah dirasmikan oleh YBhg Prof. Dato’ Dr. Mohamed Najib bin Ahmad Dawa, Ketua Pengarah Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara. Turut hadir ialah YBhg Prof Dato’ Dr. Mohammad Redzuan Othman, Naib Canselor Unisel, pengarah filem UWei Hj. Saari, para penggiat industri, rakan-rakan media dan tetamu jemputan.