Bersempena penganjuran 3rd Southeast Asian Short Film Festival 2019 (Seashorts) yang berlangsung dari 25-29 September 2019 di Melaka, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) melalui Unit Latihan Industri membawakan secara eksklusif program ‘Masterclass’ Editing bersama editor dan karyawan antarabangsa disegani dari Thailand, Lee Chatametikool pada 28 September 2019
di Dewan Tun Hamzah, Tun Fatimah Riverside Hotel, Melaka. Disertai 45 peserta merangkumi karyawan filem tempatan dan antarabangsa, Lee yang diiktiraf sebagai ahli Academy of Motion Picture Arts and Science yang melayakkanya sebagai pengundi di Anugerah Akademi (Oscar) ini telah berkongsi teknik, aspirasi, pengalaman dan cabaran beliau di sebalik dunia penyuntingan bagi filem-filem berkualiti yang mencipta impak di peringkat domestik dan global. Turut mempunyai kepakaran sebagai penyelia pasca produksi dan kesan bunyi, di antara filem-filem ikonik yang mendapat sentuhan beliau termasuklah Tropical Malady (2004), Shutter (2004), Uncle Boonmee Who Can Recall His Past Lives(2010) dan Apprentice (2017) yang cemerlang di festival filem antarabangsa.