Kuala Lumpur, 23 Ogos -Selepas 18 tahun mencipta magis sinema melalui jenama filem ‘indie’ oleh gerakan ‘new wave’ karyawan muda, filem ‘Lips to Lips’ (2000) telah menemui khalayak pencinta filem melalui program Cinephilia Southeast Asia: Coming of Age II anjuran Next New Wave yang telah diadakan di Next New Wave Plaza Danau Desa malam tadi.

Melalui platform pembangunan ilmu dan apresiasi sinema, filem digital pertama pada tahun 2000 berkonsepkan urban drama karya dan arahan Amir Muhammad ini mengisahkan tentang keinginan individu-individu di dalam latar cerita, konflik dan cabaran hidup yang berbeza yang dipertemukan melalui situasi tidak dijangka. Filem yang telah mengembara ke 14 buah festival filem antarabangsa seperti Hawaii International Film Festival, Jeonju Film Festival dan Singapore International Film Festival ini telah membina impak jaringan pembikin filem indie tempatan di arus global melalui suara dan perspektif karyawan muda.

Menampilkan barisan pelakon-pelakon seperti James Lee, Anitha Abdul Hamid, Huzir Sulaiman, Daniel Khong, Joanna Bessy dan ramai lagi, program program tayangan dan apresiasi ini turut dihadiri pengarah Amir Muhammad dan pengarah teknikal dan kreatif, Isazaly Isa yang berkongsi bersama khalayak yang hadir termasuklah pelakon, krew dan pencinta filem mengenai aspirasi, cabaran, framework, teknologi, pembikinan dan impak filem ‘Lips to Lips’ sebagai suara dan platform signifikan di dalam pembangunan karyawan generasi muda ketika itu.