Putrajaya, 15 April 2015 – Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek, Menteri Komunikasi dan Multimedia mengumumkan dalam satu sidang media yang diadakan di Putrajaya pada 15 April 2015 bahawa kos pakej jalur lebar asas akan menunjukkan pengurusan yang ketara bagi kedua-dua perkhidmatan mudah alih dan tetap.

Dalam sidang media yang diadakan itu juga, Dato’ Sri Ahmad Shabery memaklumkan pakej mudah alih akan ditawarkan pada harga RM25. Pengguna yang melanggan pakej ini akan menikmati data bulanan sebanyak 1GB dan sekurang-kurangnya 3G-HSPA untuk kedua-dua perkhidmatan prabayar dan pasca bayar. Pengurangan ini dianggarkan 14% lebih rendah daripada harga semasa. Pakej ini boleh didapati dengan serta merta.

Bagi pakej jalur lebar perkhidmatan tetap, Telekom Malaysia ™ akan menawarkan pakej jalur lebar asas pada harga RM38 sebulan untuk 1Mbps penggunaan data percuma sehingga 1GB. Harga terbaharu ini adalah 57% lebih rendah daripada harga semasa iaitu RM88 untuk pakej asas dan dijangka dikeluarkan pada pertengahan Jun 2015.

Menurut beliau, penghasilan jalur lebar yang mampu dimiliki untuk kedua-dua perkhidmatan mudah alih dan tetap akan membolehkan rakyat untuk berhubung dengan lebih mudah. Ini penting dalam usaha Malaysia membangun ke arah sebuah negara digital.

“Dengan pelaksanaan GST ke atas perkhidmatan Komunikasi termasuk kad tambah nilai prabayar, pengurangan kos untuk perkhidmatan mudah alih dan tetap kepada 14% dan 57% akan mengimbangi GST yang berkaitan dengan perkhidmatan Komunikasi,” kata Dato’ Sri Ahmad Shabery.

SUMBER : UNIT KOMUNIKASI KORPORAT KKMM
FOTO OLEH : ABDUL HADI / FARIZ FAIZAL