Petaling Jaya, 26 Jun – Di dalam strategi pembangunan industri kreatif melalui jaringan sinergi dua hala bersama entiti antarabangsa, FINAS hari ini telah berbesar hati menerima kunjungan hormat delegasi antarabangsa ke FINAS Petaling Jaya daripada ‘Ministry of Information’, Bangladesh yang diketuai oleh ‘Senior Assistant Secretary’ Mr. Md. Akhtaruzzaman Talukder.

Kunjungan tersebut membuka peluang kepada kedua-dua pihak untuk berkongsi maklumat berkaitan industri kreatif di Malaysia di samping dapat meningkatkan pengetahuan mengenai pembangunan modal insan. Delegasi turut berpeluang meninjau operasi Centre of Excellence FINAS yang menawarkan perkhidmatan pembangunan teknologi kandungan audiovisual dan restorasi melalui platform interaktif Museum of Moving Images (MOMI), E-Heritage, Mediatheque selain kemudahan di makmal dan arkib kandungan. Sesi taklimat telah disampaikan oleh En. Zakri Zakaria, Penolong Pengarah Unit Mediatheque dan turut dihadiri Cik Khartini A Fatah, Pegawai Eksekutif Komunikasi Korporat.