5 Mac 2015, Pawagam Mini P. Ramlee, FINAS –  Hampir 200 orang terdiri daripada para penggiat industri, pelajar IPTA/IPTS dan juga individu awam hadir memeriahkan lagi program Tayangan dan Apresiasi Filem Indonesia ’Sokola Rimba’. Program ini telah dianjurkan oleh Bahagian Pembangunan Industri melalui Unit Latihan Industri dengan kerjasama pihak MySC (Malaysian Society of Sinematographers) bermula pada pukul 2.00 petang hingga 5.00 petang.

Program yang dihadiri oleh Pengarah Pembangunan Industri, Tuan Haji Mohd Zulkifli Ab Wahab dan juga Presiden MySC, Tuan Syed Ismail Syed Ahmad dimulakan dengan sesi tayangan filem ’Sokola Rimba’ dan diikuti pula dengan sesi diskusi dan soal jawab.  A. Wahab Hamzah bertindak selaku Moderator manakala Ahli Panel pula ialah Pengarah untuk filem tersebut, Riri Riza yang mana beliau juga adalah Pengarah untuk filem Laskar Pelangi dan Akmal Abdullah selaku wakil media hiburan.

Filem Sokola Rimba adalah sebuah karya yang menceritakan tentang masyarakat di pedalaman yang mana terlalu jauh ketinggalan dari segi pendidikan. Mereka ini tidak mendapat akses pendidikan yang sepatutnya sehinggakan mereka menganggap bahawa pendidikan itu adalah perkara yang boleh membawa kepada malapetaka mengikut kepercayaan mereka.