KOTA KINABALU, 16 Sept-Lebih 30,000 orang membanjiri membanjiri Padang Merdeka, di sini di dalam meraikan sambutan Hari Malaysia 2018 dengan kehadiran tetamu kehormat TYT Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin dan isteri, Toh Puan Norlidah RM Jasni, YAB Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir bersama isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, YAB Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, YAB Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan pemimpin Pusat serta negeri, termasuk Menteri Komunikasi dan Multimedia, YB Tuan Gobind Singh Deo selaku Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2018.

Paparan lampu berwarna-warni dan persembahan artis menghidupkan lagi suasana di Padang Merdeka yang menjadi lokasi wajib sambutan Hari Malaysia seiring kepentingan sejarahnya sebagai lokasi pengisytiharan Malaysia pada 16 September 1963. Berdasarkan catatan sejarah, ribuan rakyat Sabah dari seluruh negeri hadir menyaksikan peristiwa itu sebagai tanda penerimaan mereka terhadap pembentukan sebuah negara baharu hasil gabungan Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sarawak dan Sabah. Malam ini, lebih 30,000 orang yang membanjiri Padang Merdeka seperti mengulangi sejarah itu termasuk sekali lagi menyaksikan wakil kerajaan Sabah, Sarawak dan Persekutuan menandatangani Buku Khas Sambutan Hari Malaysia sebagai simbolik penerimaan Malaysia. Selain mendengar ucapan dan amanat daripada Dr Mahathir dan Mohd Shafie, turut diadakan ialah persembahan khas Sayangi Malaysiaku dan acara menandatangani Buku Catatan Hari Malaysia 2018 sebagai simbolik kepada penubuhan Malaysia pada tahun 1963.