Kelana Jaya, 23 Januari – Satu program ziarah kasih anjuran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dengan kerjasama Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) telah diadakan sebagai tanda prihatin dan sokongan pihak kerajaan khasnya Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) terhadap golongan seni yang tidak berkeupayaan dan kurang bernasib baik.

Pernah membintangi hampir 100 buah drama suatu ketika dahulu, dramatis terkenal Fatimah Yassin kini tidak berupaya untuk kembali aktif dalam bidang lakonan akibat keretakan tulang belakang yang dialami sejak 3 bulan dahulu. YB Dato’ Sri Jailani Johari, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia yang hadir sama dalam program tersebut melahirkan rasa simpati dan turut membuat sumbangan kebajikan bagi membantu meringankan beban. Fatimah Yassin sebelum ini amat dikenali melalui lakonannya dalam pelbagai drama antaranya Atap Genting Atap Rumbia, PJ Holdings, Rempah Ribu dan Idaman dan banyak lagi.

Hadir sama dalam ziarah kasih tersebut ialah YB Dato’ Mohd Khusairi Abd Talib, Pengerusi FINAS, Dato’ Fauzi Ayob, Ketua Pengarah FINAS dan En Rozaidi Abd Jamil, Presiden SENIMAN.