2
PUTRAJAYA: Fenomena dicetuskan dua filem yang mengangkat kisah kepolisan dan ketenteraan, iaitu Polis Evo 3 dan Malbatt: Misi Bakara yang mengaut kutipan ‘box office’ lebih RM80 juta apabila ditayangkan di pawagam, tahun ini, memberi petunjuk industri perfileman tempatan berdepan gelombang baharu.

Mengikut data diumumkan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, kutipan pecah panggung bagi 56 filem tempatan dari Januari hingga November lalu, mencapai RM98.8 juta, iaitu kadar dianggap memberangsangkan bagi sektor perfileman tempatan yang pernah lumpuh akibat pandemik COVID-19, tiga tahun lalu.

Filem arahan Syafiq Yusof, Polis Evo 3 diumum ‘Raja Box Office’ apabila mengaut kutipan RM50.1 juta. Ini diikuti naskhah arahan Adrian Teh, iaitu Matbatt: Misi Bakara yang merekodkan kutipan RM32.5 juta.

Turut diumumkan dalam senarai enam filem pecah panggung bagi 2023 adalah Didi & Friends The Movie arahan Akmal Aziz Asmawi dan Roshfaizal Ariffin (RM8.1 juta); Imaginur arahan Nik Amir Mustapha (RM6 juta); Rahsia arahan Shamyl Othman (RM5.3 juta) dan Coast Guard Malaysia: Ops Helang arahan Allahyarham Pitt Hanif (RM4 juta).

Selain itu, kejayaan 30 filem tempatan meraih anugerah dan pengiktirafan di pelbagai festival antarabangsa, tahun ini, memberi isyarat industri perfileman negara berkembang pesat, sekaligus membuka lembaran sejarah baharu.

Hakikat itu diakui Fahmi yang menyifatkan 2023 sebagai ‘new wave’ atau gelombang baharu untuk industri sinematik tempatan atas pelbagai kejayaan dikecapi hasil kerja tangan pembikin filem tempatan.

“Ini menjadi satu titik dalam lembaran sejarah yang mungkin boleh dianggap sebagai ‘new wave’ (gelombang baharu) dalam industri perfileman tempatan.

“Dahulu, iaitu pada 2003 dan 2004 sering disebut dengan ‘new wave’. Tetapi, sekarang pada 2023, boleh dianggap sebegitu untuk industri perfileman kita.

“Itulah antara sebab mengapa saya beri penegasan selepas Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) disahkan sebagai antara agensi di bawah Kementerian Komunikasi.

“Kita akan beri fokus kepada aspek pra-produksi dan produksi terutama bagi pembikinan skrip berkualiti dan aspek pemasaran,” katanya kepada pemberita selepas program Spotlight: Apresiasi Sinema Malaysia Tahun 2023 di Kementerian Komunikasi dan Digital di sini, kelmarin.

Program anjuran FINAS ini bertujuan meraikan 26 penerima termasuk syarikat produksi dan penggiat industri yang melakar kecemerlangan dalam industri filem negara di dalam negara dan antarabangsa, tahun ini.

Fahmi berkata, pujian juga diberi kepada pembikin filem berpengalaman atas kejayaan dicapai seperti Harum Malam arahan Dain Said; Rain Town (Tunku Mona Riza); Stone Turtle (Woo Ming Jin); Barbarian Invasion (Tan Chui Mui) dan Sumpahan Jerunei (Jason Chong).

Tambahnya, rakyat Malaysia harus berbangga dengan kebangkitan karya pembikin filem muda yang memenangi lebih 20 anugerah pada festival filem antarabangsa seperti filem Tiger Stripes arahan Amanda Nell Eu.

Naskhah itu juga mencipta sejarah menjadi filem Malaysia pertama memenangi hadiah utama Minggu Kritik Antarabangsa Cannes Ke-62.

Fahmi turut menyifatkan filem Walid arahan Areel Abu Bakar berjaya membuktikan cerita aksi yang mengangkat seni persilatan Melayu mampu menarik perhatian pengedar bagi tayangan di pawagam Amerika Syarikat (AS).

Sebagai usaha membawa filem tempatan melakar lebih banyak kejayaan di pentas antarabangsa, Fahmi berkata, peranan itu wajar diambil FINAS dengan mengambil kira beberapa faktor penting berkaitan pembikinan filem.

“Saya juga lihat, ada keperluan FINAS untuk bawa filem Malaysia keluar ke pasaran filem di Asia Tenggara atau lebih jauh dari itu.

“Antara cabaran yang dihadapi penerbit adalah membawa atau mengumpul dana membawa filem keluar.

“FINAS sebelum ini pernah menyatakan kesediaan untuk membawa filem keluar. Saya fikir ini adalah langkah positif.

“Untuk masa depan, fokus yang FINAS beri adalah kepada penulisan skrip, proses ‘pitching’, pemasaran dan aspek pengedaran. Jadi, saya minta empat perkara ini supaya difokuskan,” katanya.

Fahmi turut mengingatkan pembikin filem mencari peluang mempromosi dan menayangkan naskhah lebih awal supaya mampu meraih kutipan lebih baik.

“Antara cabaran dihadapi untuk filem yang sudah disiapkan dengan menggunakan Dana Kandungan Digital (DKD) adalah kebanyakannya bergantung harap kepada Skim Wajib Tayang.

“Tetapi kalau dirancang dengan baik dan dipasarkan filem yang sudah siap jauh lebih awal daripada jadual atau tarikh Skim Wajib Tayang, saya fikir, kutipan akan jadi lebih baik.

“Saya menggalakkan penggiat filem supaya terus berkarya. Kementerian Komunikasi dan FINAS akan terus membantu industri filem di Malaysia,” katanya.

Program Spotlight: Apresiasi Sinema Malaysia Tahun 2023 kelmarin mengiktiraf pengarah Dr U-Wei Saari atas pencapaian menjadi juri dan mentor di peringkat antarabangsa seperti ASEAN International Film Festival dan Asia Pacific Screen Awards. U-Wei juga dianugerah Ijazah Kehormat Kedoktoran Seni Kreatif sempena Istiadat Konvokesyen Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) Ke-18.

Selain itu, pelakon tersohor Datuk Ahmad Tamimi Siregar membuktikan kecemerlangan lakonan sebagai teraju utama filem Malaysia-Indonesia iaitu Perjalanan Pertama yang menobatkan beliau sebagai Pelakon Lelaki Terbaik ASEAN International Film Festival (AIFFA) di Kuching, Sarawak, tahun ini.

Tidak ketinggalan, Datuk Fauziah Nawi yang dikurniakan Darjah Panglima Jasa Negara (PJN) oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah atas jasa dan perjuangan seni beliau selama lebih 50 tahun dalam industri.

Filem yang menerima penghargaan atas pencapaian di peringkat antarabangsa menerusi program itu dipecahkan kepada tiga kategori iaitu filem pendek, cereka dan ‘box office’.

– SUMBER BERITA HARIAN ONLINE