Filem tempatan pecah panggung 2017, ‘ Tombiruo: Penunggu Rimba’ terbitan Astro Shaw, Ideate Media, Grup Buku Karangkraf dan Layar Sunan arahan Seth Larney yang diadaptasi daripada novel thriller terlaris karya Ramlee Awang Murshid berjaya mencipta sejarah buat negara apabila tersenarai sebagai finalis Filem Asia Terbaik di anugerah The Australian Academy of Cinema and Television Arts (AACTA) 2018.

Dipersembahkan Eureka International Group (EIG), ‘Tombiruo: Penunggu Rimba’ yang bersaing bersama lapan filem hebat lain dari seluruh Asia untuk Filem Asia Terbaik iaitu 1987 When The Day Comes (Korea Selatan), The Bold, The Corrupt and The Beautiful (Taiwan), Dying to Survive (China), Gali Guleiyan (India), Newton (India), Sanju (India), Shoplifters (Japan) dan Youth (China) ini bakal dijurikan barisan karyawan hebat dan pemenang anugerah di festival filem antarabangsa diketuai pemenang Oscar, Russel Crowe selain Anupam Kher, Shabana Azmi, Margaret Pomeranz AM, Liu Yi, Paul Curie, Renny Harlin, Woo-seok Yang dan Kiki Sugino.

Terdahulunya, filem ‘Tombiruo: Penunggu Rimba’ yang dibintangi Zul Ariffin, Dato’ Farid Kamil, Nabila Huda, Hasnul Rahmat, Datuk M. Nasir, Datin Marlia Musa, Faizal Hussein, Farah Ahmad dan ramai lagi telah terpilih sebagai ‘Official Selection’ di bawah kategori ‘World Fantastic Blue’ bersama-sama 36 filem lain dari seluruh dunia di
22nd Bucheon International Fantastic Film Festival (BiFan) yang berlangsung dari 12-22 Julai 2018 di Bucheon, Korea Selatan.